Assalamualaikum w.b.t sume.. shat2kah kwan2 ku ari ni? diharapkan smoga kawan2 shat2 belaka, insyaAllah.. aku plak, ohh tidaaakk... keracunan makanan la plak, muntah2, cerryy beerryy sume.. huhu.. dugaan2.. ntah ape la salah msuk mulut ni kan. huhu..
okla, entry hari ni, "Kahwin Muda : Kebun atau Kuburan Cinta?".. hmm cam biasa je dengar topik ni dalam kalangan warga2 student ipt an? ada yang mengimpikan perkahwinan di usia awal, xkurang gak yang TTAAAKK NNNAAAAAKKKK!! haa, nak tau lebih lnjut tntang kahwin muda ni, kite intai2 skit artikel dr iluvislam.com ni.. setiap bhan yg dibaca setiapnya mnambahkan ilmu kite, insyaAllah.. sama2 kita bace k.. :)
<<<<<<<<Kahwin Muda : Kebun atau Kuburan Cinta?>>>>>>>
Ramai di antara pelajar IPTA mahupun IPTS yang ingin membina mahligai
ini. Terutamanya bila sering mendengar kuliyah-kuliyah berkenaan zina,
perhubungan dan sebagainya. Ada yang berkata 'Oh, aku kena kahwin kalau macam ni, elak zina".
Katanya salah seorang ahli qaryah dengan nada gurauan. Dan tidak
dinafikan itu alasan kebanyakkan mereka.
Saya tidak mengatakan ini salah dan itu betul. Cuma kita perlu
melihat banyak aspek lain lagi untuk mengelak zina lebih daripada satu
jalan sahaja iaitu perkahwinan. Isu nafkah, isu hak dan tanggungjawab antara suami isteri, isu
tanggungan anak dan isu agama mesti diperhatikan. Ingat, bahawa
ketidaksediaan kita dari aspek itu akan menjerumus perkahwinan tidak
menjadi kebunan percintaan yang boleh dipetik hasilnya akan tetapi ia
juga boleh membawa kepada kuburan percintaan yang ditinggalkan bila
tidak lagi bernyawa. Saya bukanlah seorang yang telah berkahwin, tapi
sekadar mengambil ibrah daripada orang-orang berjaya dan juga gagal
dalam mengharungi alam ini. Bacalah dengan nama Tuhanmu gugusan kata
ini.
Kebunan Percintaan
Perkahwinan diasaskan oleh cinta kemudian diakhiri dengan
tanggungjawab. Cinta merupakan kepatuhan sementara tanggungjawab ialah
bebanan. Bila sahaja kita melafazkan "aku terima nikahnya" ia bermakna
kita berkata "aku bertanggungjawab keatasnya". Bukankah cinta telah
menjadi penghias kepada tanggungjawab? Maka segalanya terletak di atas
bahu si lelaki, terutamanya perkara melibatkan maruah dan dosa. Jika
tidak dijaga selayaknya himpunan pahala berganda boleh bertukar menjadi
gugusan dosa yang bertimbun.
Kebunan itu tidak boleh dipisahkan daripada aspek islam sebagai
pendukung kehidupan. Islam adalah fitrah maka jalannya adalah juga
selari dengan fitrah manusia. Islam terdiri daripada 3 aspek
utama akidah(keimanan), syariat (peraturan) dan akhlak. Akidah ialah
aspek iman yang mana mesti menjadi dasar kepada pembinaan kerukunan
rumah tangga.
Selalu kita mengaitkan perkahwinan dengan istilah akan terbinanya
sebuah masjid. Masjid merupakan tempat ibadah yang suci dan didasari
pembinaanya atas dasar iman dan taqwa, tertegak di atas peraturan dan
lahir daripadanya akhlak yang mulia. Apabila mahligai itu didasari oleh
iman diawalannya maka apabila wujudnya krisis, ia akan lebih mudah
kerana kita boleh kembali ke dasar tadi iaitu iman. Kita berkahwin
kerana apa? Adakah kerana cinta ? kerana ikut sunnah? Kerana ikut-ikut?
Kerana ingin membentuk keluarga bahagia? Ataupun kerana Allah
Azzawajalla.
Bila kita berjaya untuk membentuk 'Basic Structure' maka
senang untuk dirujuk daripada apa jua permasalahan. Persoalan memenuhi
hak tidak lagi menjadi persoalan utama kerana hak Allah didahulukan
lebih mengatasi hak suami isteri. InsyaAllah bila hak yang pertama
didahulukan maka yang utama akan diutamakan. Allah didahulukan Keluarga
diutamakan.
Apabila ini berlaku keduanya akan membentuk suatu perjalanan yang
penuh berperaturan berlandaskan syariat. Hidup penuh berperaturan ini
menjamin keduanya berada pada landasan kepatuhan. Agar apabila berjauhan
tidak gundah, berpisah tidak gelisah. Si suami boleh memainkan peranan
dan bertindak selayaknya atas dasar peraturan. Suami adalah 'king control'
dalam sesebuah kebunan percintaan, mengawal, mendukung, melindung dan
mendidik. Bila tugas ini selari dengan syariat maka akan lahirnya aspek
akhlak.
Akhlak terbina atas dasar kepatuhan yang sudah sedia ada yang menjadi 'rules of life'
peraturan kehidupan yang mesti dipupuk sejak pertama kebunan percintaan
tadi terbina. Anak-anak akan merasakan indahnya apabila mempunyai ayah
dan ibu berpegang pada syariat tidak hanya adat. Syariat bererti
mendidik dan adat hanyalah menjaga. Bila mana ketiga-tiga faktor ini
berlegar dalam ruang lingkup keluarga maka kita akan berjaya membina
masjid dipertengahan malah hingga ke penghujung. Bukan sekadar pada
permulaan. Ayah sebagai imam, ibu sebagai bilal dan anak-anak sebagai
makmum.
Mulakanlah Sesuatu Yang Baik Itu Dengan Kebaikan
Berbalik soal pembinaan masjid bahawa adat mestilah kalah dengan
ibadat. Terdapat adat-adat dalam majlis perkahwinan yang selayaknya
dikaji semula. Soal membatalkan air sembahyang, kenduri walimah secara
berlebihan (pembaziran) terdapat unsur nyanyi-nyanyian, mas kahwin yang
tinggi dan bermegah dengannya (RM 8,888 dan sebagainya) adalah contoh
sesuatu yang baik tetapi diselangi keburukan. Bukankah Nabi menyebut
sebaik-baik wanita yang dikahwini ialah yang rendah maharnya?
Cubalah untuk mengubah cara itu berlandaskan syariat. Kita sebenarnya
kadang-kadang mesti melawan arus. Mungkin ada di antara kita yang
bertanya "kalau pihak keluarga perempuan atau lelaki hendak buat juga
macam mana?". Bagi saya jalan yang terbaik adalah dengan adakan
musyawarah atau berbincang/berunding. Sediakan hujah dan ilmu bercakap
(komunikasi). Ingin bercakap bukan sahaja dengan mulut tetapi dengan
hati yang penuh berhati-hati. Meskipun ditolak oleh pihak keluarga,
yakinlah yang sebenarnya kita telah melakukan pada yang sepatutnya.
InsyaAllah jika dilakukan dengan berhati-hati maka akan lunak hati lain
yang mendengarnya. Cuba untuk berlebih kurang tetapi penuh dihiasi
dengan komitmen yang tinggi.
Cinta Tiga Segi
Seorang Ilmuan pernah berkata kepada saya bahawa percintaan tidak
cukup hanya berdua. Kurang keseronokannya dan nilai tambah dalam
perhubungan.
"Macam mana tu ustaz?" soalan ini terus tercetus kerana menggambarkan
seolah-olah berkahwin lebih daripada satu itu mempunyai nilai tambah.
"Saya berkata begitu sebab bila hanya hanya bercinta iaitu antara
lelaki dan perempuan, maka tidak akan ada yang menjamin si suami atau si
isteri akan selamanya setia pada kita. Mungkin saja di hadapan kita
pijak semut pun tak mati tapi di belakang gajah yang sebesar itu
dilanyaknya". Jawabnya dengar nada gurauan.
"Kalau begitu siapa yang menjamin kesetiaan antara mereka?". Saya
bertanya mahukan penjelasan walaupun jawapan ringkasnya sudah berada
dalam minda.
"Tak lain adalah kita menjadikan Allah sebagai kayu ukur terhadap
kesetiaan dan kepatuhan. Katakan padanya samada suami atau isteri yang
kita mencintainya kerana Allah. Maka cinta itu akan segar dan sentiasa
mekar", jelasnya lagi.
Inilah yang menjadi idaman semua, cinta ibarat bunga mekar tidak
hanya kembang hanya diwaktu pagi (awalan). Dan ianya akan mudah dirujuk
(kembali kepada persoalan pertama iaitu iman). Jika kasih kita kepada
isteri bertambah bermakna bertambahlah kecintaan kita kepada Allah.
Sebaliknya jika kecintaan kita kepada isteri kita sudah berkurang
bermakna kurang juga cinta kita kepada Allah.
Kitaran Perkahwinan
Dengan meletakkan Allah sebagai "key performance indicator"
ia akan lebih bersifat maknawi, lebih kukuh dan mengukuhkan. Persoalan
ibadah akan menghiasi dinding-dinding kesepian. Mencintai ialah hak
Allah yang mewujudkan kita daripada hak ketiadaan. Yang memelihara kita
dengan nikmat yang tidak terhingga. Daripada kegelapan berlapis tiga
(kegelapan malam, alam rahim dan mata) hingga ke dunia.
Jika ini dapat dilakukan semoga dengannya "berjauhan kita tidak gundah, berpisah tidak gelisah"
Suami Bertuan Di mata Beraja Di hati
Sejak kebelakangan ini berlaku banyak kes perceraian yang
membimbangkan. Kajian mendapati tidak ramai pasangan-pasangan muda yang
mampu bertahan sehingga mencecah 10 tahun perkahwinan mereka iaitu 59.9
peratus iaitu daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada
2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun
berkenaan. Sebagai imam di mana letaknya kekuatan lelaki yang tidak
mampu untuk mempertahankannya.
"الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ"
Ertinya : "Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana
kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafqah yang mereka
berikan" -(Surah An-Nisa ayat 34)
Pernahkan kita mendengar perkahwinan ibarat belayar dengan bahtera
manakala persekitaran ialah ombak lautan? Tanpa bekalan yang cukup,
kesediaan dan kukuhnya bahtera yang dibina oleh ketua maka bahtera yang
dibina sudah tentu tidak akan mampu bertahan. Apabila bahtera tadi
pecah, maka posisi nakhoda akan terjejas (suami), anak dan isteri jatuh
di dalam lautan masalah (perceraian). Kasih sayang sudah berbagi antara
cinta dan air mata. Benar sekali jika perkahwinan boleh sahaja menjadi
kuburan percintaan, menguburkan perkahwinan yang terbina dengan cinta.
Bukan Soal Cepat Atau Lambat Tetapi Bersedia Atau Tidak
Persoalan di atas terjawab dengan ilmu. Bagi saya pasangan muda
haruslah menyediakan diri dengan ilmu berumah tangga. Dan ia tidak
semestinya dengan membaca semata-mata tetapi mengutip butiran hikmah
daripada orang yang lebih tua. Bukan hanya Ilmu munakahat yang mesti
menjadi pokok perbincangan tetapi ilmu-ilmu yang mendukung tertegaknya
munakahat seperti, tauhid, feqah dan saya cadangkan buku Muhimmah Fil
Ilmi Hadis (kemanisan dalam mempelajari hadis), berkenaan taktik
berumah tangga tidak kurang juga ekonomi.
Kesediaan dari sudut pengukuhan kewangan adalah penting tetapi tidaklah sampai ke tahap terpenting. Pernahkah kita mendengar "everything needs money but money isn't everythings"?.
Perlu difikirkan bagaimana hendak menyara hidup terutamanya bagi si
suami. Terdapat juga pandangan pesimis daripada ibubapa, "kau nak bagi
makan apa pada isteri kalau masih belajar, nak bagi makan pasir?"
Mendengarnya menjadikan pasangan muda yang ingin berkahwin agak pedih
lagi memeritkan bukan? Saya serahkan kepada anda fikirlah jalan yang
terbaik dan kebanyakkan kita tahu jawapannya.
Ibubapa ini terkadang risau bukan marahnya itu rajuk. Bagi ibubapa
yang berada mungkin mereka tidak kesah kerana masih lagi mampu mengisi
kekurangan itu tapi bagi yang kurang berada bagaimana? Kadang-kadang
semua itu menyindir kita. Seolahnya kita mendapatkan segalanya yang
mungkin sedangkan sebenarnya tidak. Mereka sebenarnya tidak menyindir
cuma sekadar merajuk. Pujuklah.
"Kata orang dunia ini agak pelik sedikit. Kadang-kadang kita
dikaburi masa yang singkat sehinggakan kita terlupa masa yang panjang
kerana mengejar masa yang singkat. Sedangkan masa yang panjang adalah
yang hakikat. Jangan kita hanya memandang yang benar sebaliknya
pandanglah disebalik yang benar. Jika benar itu mengaburi kebenaran"
Ilmu tidak akan habis sebaliknya ia satu proses. Belajar perlu
sebelum, semasa dan selepas perkahwinan. Cubalah bersedia daripada
pelbagai sudut. Belajar sebelum adalah berseorangan, belajar semasa
sudah pasti berdua dan belajar selepas adalah bertiga malahan lebih
(bersama anak-anak).
Piawaian Berkasih
Sebelum perkahwinan ramai pasangan yang membina mahligai yang
kononnnya nanti akan dihiasi dengan pengharapan. Berharap selepas kahwin
ada itu dan ini, kereta yang besar, rumah yang mewah, anak-anak yang
berjaya tidak kurang juga suami dan isteri yang romantik dan memahami.
Semuanya yang indah-indah belaka. Bukan salah untuk berharap tetapi
jangan pula harapan tinggal angan-angan.
Terimalah seadanya dan cuba untuk berbuat apa yang patut. Kita selalu
mengidamkan sesuatu yang lebih daripada sedikit kelebihan. Cubalah
untuk memahami dan meneliti. Perkahwinan bukan satu pengakhiran tapi ia
sebuah permulaan. Sesudah berkahwinan segala baru sahaja bermula kerana
zina yang ingin dielakkan pada awal perbincangan tadi telah semakin
berat. Mengelak dari sesuatu untuk berhadapan dengan sesuatu. Itulah
yang kita lakukan.
Tidak hanya kita mahukan kereta yang besar tapi kita mahukan kereta,
rumah, anak-anak yang berkat. Untuk itu suami dan isteri mestilah
mencari yang berkat. kita selalu berterima kasih dan mengatakan "she or he is the answer of my prayer".
Pada permulaan segalanya akan kelihatan baik dan lama-lama ia akan
berubah. Bersedia untuk perubahan itu. Setiap pasangan akan mula
menunjukkan wajah sebenar ketika telah lama berumah tangga. Bila saja
rasa cinta itu terbeban dengan tanggungjawab dan tersisih daripada
keseronokan.
Kata-kata yang dulunya berbunga hilang serinya, kuntuman kasih muncul
hanya sekali sekala. Bagai bunga kembang tak jadi. Bila mana mencapai
kepenatan, kaki sudah lenguh, hati sudah jemu dan lain-lain berkaitan
kerja dan rumah tangga. Untuk mencapai kebahagiaan mesti dahulu
mengenal erti kesengsaraan kerena dengannya akan lahir pengawasan dan
penelitian.
Berkahwin memang seronok tapi bukan untuk seronok-seronok. Ia
mengharapkan kekuatan samada kejiwaan mahupun kepatuhan. Kejiwaan untuk
kekuatan dan kepatuhan untuk ketenangan. Saya pernah menjelaskan bahawa
hati wanita berbeza dengan hati lelaki (tekan disini). Lelaki biasanya
akan terbeban dek kerana kesibukkannya mengurus rumah tangga.
Lelaki yang dulunya lebih romantis akan kehilangan nadanya kerana
bebanan kerja yang banyak. Ironinya isteri yang dulunya sopan sudah
semakin banyak tuturnya. Manakan tidak keletihan pada tulang-tulang
sudah pergi ke tarikan urat-urat mulut yang tidak henti-henti mengeluh
akibat kepenatan. Memasak, mengemas, membasuh pakaian menyebabkan wanita
berkelakuan seperti itu.
Oleh itu jangkalah apa yang tidak disangka. Kata orang lama, wanita
itu bagaikan angin lalu. Bila dia bertiup sayu maka terlena kita
dibuatnya. Bila angin mula berubah menjadi ribut kalut kita dan bila ia
berubah menjadi taufan lari lintang pukang kita. Begitulah sebaliknya.
******************************************************
Warkah Kata Buat Permulaan Kita
Untuk bakal suamiku,
Wahai bakal suamiku, sesungguhnya dirimu amat ku nanti dalam
perjalanan hidup ini. Di siang mahupun malam hari. Ku tulis warkah ini
dari hati moga ia menjadi lakaran permulaan yang indah buat kita.
Pertamanya aku ingin mengucapkan setinggi terima kasih kerana sudi
mengambilku sebagai isteri. Terasa tidak lengkap kiranya aku hanya hidup
bersendirian di alam ini tanpamu. Kebahagiaan kita sekeluarga berada di
tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga ini.
Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan,
keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu.
Semasa engkau melamarku wahai suami, masa itu syukurnya hanya Allah
yang tahu. Air mata ini mengalir tidak terasa, mengalirkan kegembiraan
penuh makna. Udara itu senang untuk digapai. Rasa yang tidak pernah ku
alami. Hargailah aku selalu.
Wahai suamiku, rindu itu buah cinta. Jika ia tiada maka cinta tidak
akan berbuah dan layu. Oleh itu hidup denganmu aku berharap rindu itu
sentiasa bersemi. Biarpun terkadang diisi dengan air mata dan kesakitan.
Namun, perasaan itulah yang sentiasa ada buat kita. Suamiku, bahtera
yang kita bina ini ku harap sentiasa utuh dalam perjalanan kita bersama.
Kau suamiku adalah pelindung dan pengemudi bahtera ini.
Aku berharap pengorbanan yang bakal kita lalui adalah merupakan pahit
ubat yang menjadi penyembuh. Tidak aku pengharapkan pengorbananmu
semahal nabi Allah Muhammad s.a.w terhadap Khadijah, mahupun seutuh
kasih nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail. Suamiku, pengorbanan
itu sesuatu yang perlu di waktu susah dan senang. Kerana ianya adalah
mahar segala janji dan mahar yang paling berharga daripadamu.
Suamiku, aku berharap cinta kita terikat bersama dengan cinta kita
terhadap Allah. Jika berkurang maka ditambah, jika bertambah maka
syukur. Di dalam hidup, aku berharap kepadamu tidak mengangapku terlalu
sempurna kerana aku hanya insan biasa. Bimbinglah tanganku dalam
melayari lautan ganas bersamamu. Sesungguhnya engkau adalah cerminan
bagiku. Jika berjaya engkau maka berjayalah aku, jika gagal maka
gagallah aku. Ya Allah, terima kasih kerana dia ada dihati dan jiwaku.
Sekian daripadaku,
Bakal Isterimu.
Bakal Isterimu.
Untuk bakal isteriku,
Dalam batasan perjalanan waktu, saat hampir diikat denganmu terasa
lapang dada ini. Pilihanku terhadapmu ku harap mendapat restu Ilahi.
Tidak ada daya dan upaya ku untuk menentukan yang terbaik buat dirimu.
Hanya DIA tempat berharap. Dalam bertatih di dunia ramai yang telah
singgah mengajar berbagai erti. Hadirnya kamu wahai isteriku, ku harap
dapat kau ajarkan aku erti marah, rajuk, rindu dan sayang.
Kesetiaan dan pengorbanan mu sebagai isteri dan ibu amat ku tagih.
Bersama didalamnya kita bina keyakinan dan kesepaduan. Tanpa pengobanan
maka tidak ada kebahagiaan. Marilah kita sama-sama belajar untuk melepas
sesuatu demi menuntut sesuatu yang lebih berharga. Semoga menjadi insan
terindah dalam mengharungi lautan mahupun denai kebahagaian.
Sesungguhnya hati ini setia padamu, padamu aku letakkan cinta
terhadap seorang isteri. Agar engkau dapat menjagaku urusan dunia dan
akhiratku. Sesungguhnya tipu daya tika ini sangat menakutkan. Dengan
hadirmu wahai isteriku akan menambah seribu keyakinan dalam diriku.
Menempis segala kekusutan dan tohmahan. Kerana hidup kita terlalu
singkat, aku berharap kepadamu wahai isteriku agar kita tidak berlebihan
atau berkurangan dalam segenap hal. Di dalam warkah ini ada
kegembiraan, pengharapan dan keredhaan. Tatapilah ia buat bekalan kita
nanti.
Sekian daripadaku,
Bakal Suamimu.
Bakal Suamimu.
No comments:
Post a Comment